HomeBeritaMTPN, YMLM sasar anjur 100 program derma darah tahun ini

MTPN, YMLM sasar anjur 100 program derma darah tahun ini

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dan Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia (YMLM) menyasarkan untuk menganjurkan sebanyaj 100 program menderma darah pada tahun ini.

Pengerusi MTPN Cawangan Setiawangsa, Abdul Malik Jamaran berkata, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pernah bekerjasama menganjurkan program tersebut sebelum ini.

Abdul Malik Jamaran.

Menurutnya, kerjasama program tersebut diteruskan pada tahun ini susulan menerima sambutan yang menggalakkan daripada program-program yang diadakan mereka pada tahun lalu.

“Secara asasnya, program hari ini kami jalankan melalui program derma darah yang telah kami jalankan sebelum ini sejak beberapa tahun yang lepas, tetapi tahun ini kami lebih serius.

“MTPN bersama dengan YMLM akan bekerjasama untuk mengadakan program derma darah ini sebanyak 100 program pada tahun 2023 dan pada hari ini di AEON Big Ampang, ini adalah program kedua kami untuk tahun 2023.

“Untuk 2023, sasaran kami, kami akan adakan 100 program yang sama seperti ini untuk membantu Pusat Darah Negara (PDN) mengumpul sebanyak darah yang diperlukan bagi komuniti di Malaysia.

“Ini adalah salah satu tanggungjawab kami, jadi, kami rasa dengan program ini dapat membantu komuniti di luar sana, sudah tentulah kerana darah sangat penting untuk semua orang sekarang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Abdul Malik berkata demikian pada program menderma darah anjuran MTPN dan YMLM yang diadakan di pusat membeli-belah AEON Big Ampang pada Ahad.

Sementara itu, Presiden YMLM, Danny TF Teh berkata, komitmen beliau pada tahun ini adalah untuk memperbanyakkan lagi kempen menderma darah.

Danny TF Teh.

Kata Danny, terdapat beberapa program yang diadakan mereka pada tahun lepas tergendala dan pihaknya sendiri melihat bagaimana keadaan di hospital sangat-sangat memerlukan bekalan darah.

“Kita ada nampak bekalan darah dalam negara kita sudah tidak mencukupi, ini adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku selama dua tahun yang lalu.

“Jadi kali ini kita nampak, kita ada pergi hospital, setiap 45 minit mereka perlukan satu beg darah.

“Setakat ini jumlah keseluruhan yang menderma darah secara harian adalah 200 orang. Setiap 45 minit untuk satu hari berapa banyak darah diperlukan? Memang tidak cukup,” kata Danny.

Tambah Abdul Malik, beliau berharap semoga masyarakat dapat memberi sokongan dan perhatian kepada program-program sedemikian memandangkan program ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

“Saya rasa setiap rakyat Malaysia perlu menjalankan tanggungjawab untuk membantu PDN menyediakan bekalan darah yang secukupnya untuk komuniti di luar sana yang memerlukan.

“Satu lagi, kebanyakan daripada kita tidak tahu perlunya mengamalkan menderma darah ini kerananya satu proses yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan.

“Dengan melakukan menderma darah, kita akan dapat menggantikan kualiti darah yang baru sahaja diderma daripada darah kita,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor