HomeBeritaMYAirline lancar laluan KL-Sibu, tawar tiket serendah RM59

MYAirline lancar laluan KL-Sibu, tawar tiket serendah RM59

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah baharu, MYAirline Sdn Bhd melancarkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak, hari ini.

Penerbangan menerusi pesawat Z9 8201 itu mula berlepas dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) pada jam 12.45 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 2.45 petang.

Pelancaran laluan baharu itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan yang turut serta mengikuti penerbangan ke negeri berkenaan.

Menurut beliau, pelancaran laluan baharu MYAirline antara Kuala Lumpur ke Sibu yang akan beroperasi secara dua kali sehari, merupakan tambahan yang dialu-alukan khususnya bagi sektor pelancongan di Malaysia.

“Dengan lebih banyak persaingan, kami boleh mengharapkan untuk melihat tambang kekal rendah, menjadikan perjalanan lebih mudah untuk semua orang.

“Saya berharap MYAirline dapat berkembang lebih pesat dalam menghubungkan orang ramal dan tempat di seluruh negara dan rantau ini,” katanya.

Khairul Firdaus menyantuni para penumpang sebelum menaiki penerbangan MYAirline dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, pihaknya amat berbesar hati melancarkan laluan Kuala Lumpur–Sibu pada bulan ini yang turut menjadi bulan perayaan Tahun Baru Cina.

“Kami berbesar hati melancarkan laluan Kuala Lumpur-Sibu pada bulan yang mulia ini Tahun Baru Cina di mana keluarga akan dapat pulang ke rumah dan bersatu semula dengan mereka yang tersayang,” ujarnya.

Tambah Rayner, bersempena dengan pelancaran laluan baharu itu, MYAirline turut melancarkan promosi ‘Sarawak Super Sale’ yang menawarkan tambang merangkumi ‘all-in’ serendah RM59.

Jelasnya, promosi berkenaan terbuka bagi penerbangan ke Kuching dan Sibu bagi tempoh perjalanan dari 18 Januari hingga 31 Julai 2023.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan tiket menerusi www.myairline.my

Untuk rekod, destinasi pertama MYAirline di Sarawak adalah di Kuching yang telah dilancarkan pada 1 Disember 2022.

Syarikat penerbangan itu kini merancang untuk terus mengembangkan rangkaiannya dan menawarkan lebih banyak lagi pilihan perjalanan kepada pengembara.

Author

Pilihan Editor