PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam usahanya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Rayuan daripada menganggotai panel hakim yang mendengar permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, mahkamah tidak diyakinkan dengan hujah peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Hakim Datuk Abu Bakar Jais, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan seharusnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.
“Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) diberikan kuasa budi bicara untuk melantik hakim Mahkamah Rayuan (Abu Bakar) untuk menganggotai panel Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Atas alasan yang sama, kami menolak hujah bahawa Hakim Abu Bakar tidak sepatutnya terlibat dalam pendengaran permohonan semakan ini.
“Oleh itu, bantahan awal ditolak. Kami akan terus mendengar permohonan itu,” kata Abdul Rahman.
Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.
Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan bantahan awal atas alasan Abu Bakar tidak sepatutnya berada dalam panel hakim untuk mendengar permohonan itu.
Beliau mahu hakim itu menarik diri, dengan menyatakan bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya menjadi panel hakim dalam prosiding semakan tersebut.
Muhammad Shafee berkata, mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa pengaturan untuk memilih hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahan pula, beliau berkata, Tun Tengku Maimun telah memenuhi keperluan Perkara 122 dengan pemilihan Abu Bakar sebagai anggota panel hakim.
Najib dalam usaha untuk membatalkan keputusan dibuat lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA