PUTRAJAYA: Sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan bertindak atas penahanan tidak sah Najib.
Jurucakap NGO itu, Datuk Lokman Noor Adam menggesa agar kerajaan memastikan Najib diberikan ruang untuk dibebaskan dan kes SRC International dibicarakan semula dengan adil.
Gesaan itu dibuat ketika beliau membaca memorandum mereka yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.
“Berdasarkan jangkaan kami seperti yang disebutkan, kami percaya bahawa Datuk Seri Najib telah dizalimi dan tindakan mendakwa serta menghukum beliau adalah satu pakatan jahat yang dirancang.
“Jika kerajaan tidak melakukan sesuatu, beliau akan terus dianiayai. Setiap detik beliau dikurung di balik tirai besi tanpa melalui proses keadilan yang sempurna adalah satu bentuk kezaliman kepada beliau dan keluarganya.
“Satu tindakan drastik dan pantas harus diambil oleh kerajaan bagi memastikan Datuk Seri Najib diberikan ruang untuk dibebaskan dan kes SRC ini dibicarakan semula dengan adil tanpa ada sebarang kepincangan dan keraguan,” katanya.
Di dalam memorandum NGO tersebut, mereka menyatakan beberapa fakta yang menunjukkan tindakan memenjarakan Najib sebagai satu penahanan yang tidak sah.
Antaranya ialah mereka percaya bahawa Hakim Datuk Mohd Nazlan mempunyai konflik yang berkepentingan dan tidak sepatutnya menjadi hakim yang mengendalikan kes SRC itu.
Selain itu katanya, Najib juga tidak diberikan ruang secukupnya untuk membuat rayuan apabila permohonan peguam baharu beliau untuk memperoleh sedikit masa melakukan persiapan perbicaraan ditolak.
Seterusnya ialah mereka berkata bahawa tuduhan Najib melakukan kesalahan dengan menggunakan kuasa untuk meluluskan pinjaman KWAP bagi mendapatkan habuan adalah tidak benar sama sekali.
Kegagalan pihak pendakwaan mencari dan membawa saksi utama kes SRC juga merupakan satu asas yang kukuh bahawa kes ini tidak berjalan dengan sempurna, katanya lagi.