HomeBeritaNGO gesa PM Anwar tegakkan keadilan ke atas Najib

NGO gesa PM Anwar tegakkan keadilan ke atas Najib

PUTRAJAYA: Selaku seorang yang selalu memperjuangkan dan menegakkan keadilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk menegakkan keadilan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Koordinator sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak, Datuk Hamidah Osman berkata, mereka dengan asas-asas yang ada bahawa Najib ditahan secara tidak sah.

Kata Hamidah, perkara ini terbukti dalam perbicaraan bahawa RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib bukan duit KWAP, tetapi duit pinjaman daripada Maybank yang diluluskan Hakim Datuk Mohd Nazlan ketika beliau seorang peguam dan setiausaha Maybank.

“Jadi kita nampak ada satu niat jahat oleh Hakim Nazlan itu sendiri, dan kenapa sampai ke hari ini tidak ada apa-apa tindakan diambil ke atas beliau?

“Saya selalu berkata ‘nobody is above the law’, waima sesiapa sahaja kalau bersalah tetap bersalah, kalau hari ini Nazlan didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dan bertindak jahat atau pun berniat jahat, tindakan kena diambil, kenapa perkara ini tidak diambil tindakan sehingga ke hari ini?

“Sebab itu lah hari ini kita hadir ke Pejabat Perdana Menteri, kita mendesak Perdana Menteri selaku orang yang selalu memperjuangkan dan menegakkan keadilan, hari ini kita pohon tolong tegakkan keadilan untuk Datuk Seri Najib.

“Kalau Najib sebagai bekas perdana menteri yang telah banyak berjasa tidak dapat kita tegakkan keadilannya, jangan cakaplah pasal nak tegakkan keadilan untuk rakyat,” tegasnya.

Hamidah berkata demikian selepas menghantar memorandum NGO tersebut yang menggesa Anwar mengenakan tindakan ke atas Hakim Nazlan dan membicarakan semula kes SRC International Najib, di Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.

Menurut Hamidah, beliau berterima kasih kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai yang turun sendiri menerima memorandum itu dan menjamin akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Anwar.

Author

Pilihan Editor