HomeBeritaPolitikOrang lain buat rasuah, Hadi buat sedekah - Zahid

Orang lain buat rasuah, Hadi buat sedekah – Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai hipokrit.

Ia berikutan kenyataan Abdul Hadi bahawa pemberian wang tunai oleh parti itu ketika PRU15 adalah sedekah.

“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA.

Presiden UMNO itu juga menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang “ulama politik” dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.

“Ulama ini janganlah tukar-tukar hukum.

“Akhirnya ulama politik tak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam. Ulama kena ada integriti, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya lagi.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan mempertahankan pemberian wang tunai yang dibuat dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

“Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya.

Pada 3 Januari lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

Petisyen itu mendakwa PAS merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 November 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU15.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan Hadi sebagai bukti memang berlaku pemberian wang semasa PRU15.

Malah, katanya lagi, PAS cuba “menghalalkan” apa yang dilakukan walaupun ia melanggar peraturan pilihan raya.

“Inilah budaya dan sikap PAS sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” katanya di Facebook.

Author

Pilihan Editor