CYBERJAYA: Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegaskan bahawa partinya tidak pernah mengamalkan politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi.
Ahli Parlimen Jerantut itu berkata demikian bagi membalas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemberian wang tunai PN kepada pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Khairil berkata, kenyataan Zahid adalah jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pemberian tunai itu.
“Sedangkan Presiden PAS ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi, tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.
“Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding.
“Adalah ditegaskan PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi, berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Untuk rekod, Abdul Hadi dilaporkan mempertahankan pemberian wang tunai yang dibuat dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Kenyataan itu adalah susulan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman pada 3 Januari lalu.
Mengulas kenyataan Abdul Hadi, Zahid berkata apabila tindakan tersebut dibuat oleh PAS, dipanggil sedekah, tetapi jika dibuat oleh UMNO pula dipanggil rasuah.
Zahid turut menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang ‘ulama politik’ dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.