KUANTAN: Tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN untuk menghadiri Perhimpuan Agung UMNO 2022 yang bermula Rabu ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perhimpunan itu juga tidak akan menjemput perwakilan asing kerana ingin menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN.
“Setakat ini, itulah keputusannya (tidak menjemput parti lain dan duta asing). Parti komponen BN sahaja dijemput selain perwakilan sedia ada.Kita mahu selesaikan perkara berkait UMNO dan BN sahaja.
“Ini bukan bermakna kita tidak kawan, sebaliknya kita mahu menumpukan kepada isu dalaman parti, bermuhasabah dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi program penerangan isu-isu semasa terkini negara di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan 1,309 pimpinan UMNO di setiap bahagian seluruh negeri ini.
Tambah Ahmad Maslan, perhimpunan PAU kali ini bertujuan memberi penjelasan mengenasi situasi semasa dan pembentukan kerajaan perpaduan.
Beliau berharap, penerangan yang diberikan menerusi perhimpunan itu dapat difahami oleh seluruh kepimpinan yang hadir.
“Selain itu, program seumpama ini juga akan diadakan di enam negeri lain yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa akan datang.
“Kita harap selepas PAU ini, seluruh jentera telah bersedia dan akan memberi tumpuan untuk menghadapi PRN pula,” ujar beliau.
Untuk makluman, PAU dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada 11 hingga 14 Januari ini.