KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk mengambil perhatian berhubung arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar tentang nasib peniaga dan penjaja kecil di bahu jalan, bukan memikirkan pembinaan bangunan mega yang gah sebagai legasi.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, nasib peniaga dan penjaja di bahu jalan sering menjadi sasaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana-mana sahaja, atas alasan pembangunan mega.
Beliau yang berpengalaman menguruskan dan menyelesaikan isu penjaja dan peniaga kecil selama 15 tahun itu berkata, sepatutnya nasib golongan itu diutamakan dahulu kerana ia soal kehidupan rakyat.
“Sebelum sesebuah pembangunan bandar wujud, penjaja dan peniaga kecil sudah teroka tempat dulu.
“Ini seolah-olah wujud satu gerakan menyeluruh pula apabila PBT mesti mensasarkan peniaga dan penjaja kecil di bahu jalan dan ada yang bertindak merobohkan gerai, mengusir daripada tempat asal berniaga, ada yang tidak mengikut prosedur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bersama peguambela dan peguamcara, Arivon Namasivaya dari firma Arivom & Co menyuarakan kebimbangan 15 peniaga kecil di Jalan Tun Sambathan 3, Brickfields, melibatkan isu gerai dan pokok yang ditebang pihak DBKL pada waktu malam sebelum ini.
Ridzuan berkata, beliau meminta Datuk Bandar supaya mengambil kira kenyataan Perdana Menteri yang memberi tempoh tiga bulan kepada DBKL berhubung cadangan mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan bandar raya ini, pada pertemuan dengan pengurusan DBKL, hujung Disember lalu.
“Datuk Seri Anwar mengatakan paling utama jaga rakyat, peniaga miskin. Hari ini DBKL macam tendang bola padahal peniaga ini sudah berniaga lebih 40 tahun di sini.
“Kami beri tempoh hingga hujung bulan ini untuk beri kata putus mengenai isu ini,” katanya.
Sementara itu, Arivon berkata, alasan pihak DBKL sebelum ini untuk mengosongkan lokasi di jalan berkenaan daripada sebarang struktur gerai adalah bagi tujuan akses kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta utiliti bagi bangunan berhampiran termasuk YTL.
Penat akibat tiga kali berpindah dalam tempoh 40 tahun berniaga di tepi jalan, lima peniaga gerai di Jalan Tun Sambathan 3, di sini akhirnya menghantar writ saman terhadap DBKL supaya ‘tidak diganggu’.
Writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur pada Mei 2021.
Ia berikutan, YTL Corporations Berhad dan DBKL telah mendapat satu kebenaran untuk menebang pokok-pokok di kawasan sempadan YTL sekaligus menyebabkan 15 gerai berhampiran terjejas.
Bagaimanapun, sejak writ difailkan, DBKL tidak meneruskan tindakan menebang pokok-pokok berkenaan.
.