HomeGaya HidupSeni & WarisanPelajar sekolah belajar buat keris di muzium

Pelajar sekolah belajar buat keris di muzium

KUALA LUMPUR: Keris cukup sinonim dengan orang Melayu.

Mengikut sejarah lisan dari Kelantan, keris bermaksud Keramat, Rahsia, Yang Satu.

Kini, banyak pihak rancak mengembalikan semula kenali keris dari segi usia, asal-usul, jenis, rekaan, pembuatan, hadiah, ritual atau fungsi sebagai senjata melalui pelbagai program dengan cara masing-masing.

Jika sebelum ini, Melaka menganjurkan Festival Keris Antarabangsa Melaka (FKAM) 2022 secara besar-besaran, di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, mempamerkan 1,000 keris.

Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) pula menampilkan 94 keris termasuk 59 bilah keris koleksi peribadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta artifak pada Pameran Keris : Kuasa dan Jati Diri di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), di sini sejak Disember 2022 hingga 13 Mac depan.

Pengurus Bahagian Pendidikan IAMM, Nailah Ahmad Faiz berkata, banyak sekolah termasuk di peringkat antarabangsa mengadakan lawatan sambil belajar di bangunan tiga tingkat itu sepanjang pameran berlangsung.

Katanya, ia bertujuan mendedahkan generasi muda khususnya pelajar sekolah mengenai keris yang juga sebahagian daripada sejarah warisan Dunia Melayu.

“Menerusi pameran ini, pelajar sekolah didedahkan cara pembuatan keris dari A hingga Z agar mereka menghargai nilai warisan sejarah.

“Di IAMM, kami mendedahkan mereka dengan kehebatan Dunia Alam Melayu kepada anak muda, yang menjadi sebahagian pengetahuan dalam pendidikan sejarah di alam sekolah.

“Selain mengenal keris dipamerkan, ada aktiviti interaktif yang mereka boleh buat seperti, suai padan bilah dan sarung keris, mencari asal usia keris dan dicatat pada kertas khas, mencari klu keris yang hilang untuk sultan melalui Pengembaraan Hang Nadim.

“Selain itu, kita juga menggalakkan mereka mengenal jawi dengan menulis surat dalam tulisan jawi, selain menyambung ratusan gelang getah membentuk keris dan bilah serta bergambar dengan pemakaian tanjak dan keris,” katanya ketika ditemui pada program Hari Keris, di IAMM.

Turut hadir, kurator Galeri Dunia Melayu IAMM, Izuan Fadzil Mohammad.

Nailah berkata, IAMM juga mengadakan tayangan wayang kulit Hang Tuah pada setiap Sabtu.

Katanya, pendedahan mengenai keris yang kebanyakannya berasal dari Sumatera dan Jawa sangat penting bagi orang Melayu masa kini, bagi membuktikan bahawa betapa hebatnya Melayu.

Antara keris yang dipamerkan termasuk milik Sultan Abdul Jalil Riayat Shah keempat, yang juga koleksi tetap IAMM sejak 1998.

Keris berkenaan adalah satu daripada dua keris baginda yang dapat dijejak sehingga 1712.

Selain itu, keris Alang, mempunyai rekaan lurus dan dipercayai berasal dari Kepulauan Sumatera, ditempa ditempa sekitar abad ke-19 digunakan untuk menghukum penjenayah.

Pada program sama, acara “Talent For The World – Young Keris Maker” pelapis muda dari Pantai Timur terlatih menyertai program berkenaan.

Seramai tiga pelatih terpilih mempersembahkan keris buatan mereka sebagai bahan pameran.

Mereka ialah Muzaffar Mohd Zafri, tampil dengan keris Bugis berlok lima berpamor perut ular; Ahmad Azuan Othman dengan keris Alang bilah 21 dan sampir sari bulan; dan Abdul Hakim Zulkifli mempamerkan keris sepukal berpamor bulu merak.

Namun, penceritaan secara penyampaian auditori dan visual di pameran, tentang setiap keris itu belum lagi dapat diketengahkan lebih meluas melainkan hanya barisan keris dan sebaris ayat sebagai kapsyen mengenai satu-satu keris itu.

Mungkin boleh diperbanyakkan lagi penceritaan sesuatu bahan sejarah melalui orang perseorangan yang arif, atau aspek auditori supaya lebih menggalakkan lagi mereka kenal keris secara mendalam.

Author

Pilihan Editor