KUALA LUMPUR: Mesyuarat Bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi bulan Januari yang dijadualkan Khamis ini antara lain adalah bagi membincangkan mengenai pemilihan parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
“… pemilihan UMNO belum dibincangkan. Tentunya boleh dibincangkan pada 5 Januari ini tentang pemilihan (parti),” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, hari ini.
Ahmad berkata, selain pemilihan UMNO, mesyuarat bulanan itu akan turut membincangkan mengenai jemputan ke PAU 2022 kepada parti yang terdapat dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat pengurusan UMNO akan diadakan malam ini yang dipengeruskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada 26 Disember lepas, setiausaha agung UMNO itu berkata keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu akan dipertimbangkan atau tidak, hanya akan diputuskan ketika mesyuarat MT Khas pada 12 Jan ini sebelum Perhimpunan Agung keesokannya.
PAU 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Dis 2022, telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan 2023. – BERNAMA