KUALA LUMPUR: Pengecualian fi kepada anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPSWP) dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kerana peguam tidak perlu lagi memindahkan tanggungan itu kepada anak guam mereka.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menerusi kenyataan hari ini berkata, keprihatinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar dalam perkara itu perlu diteladani semua kerana meletakkan kepentingan awam mengatasi perolehan kerajaan.
Beliau berkata, pengecualian fi yang diwartakan pada 26 Januari itu sangat melegakan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang baharu sahaja menempuh era baharu pasca pelaksanaan Akta 814 yang mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022, ditambah pula dengan krisis yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19.
“BPSWP pasti pengalaman Mohd Nai’m dalam kehakiman syariah sebelum ini membantu keputusan beliau membuat pertimbangan yang cepat dan tepat dalam isu ini dan ia merupakan manifestasi kelancaran wibawa beliau sebagai Menteri walaupun masih belum mencecah 100 hari pentadbiran,” katanya.
Katanya, bagi fi untuk tahun-tahun akan datang BPSWP telah pun melaksanakan kajian dan mendapat sumbang saran dari anggota BPSWP, dan hasil kajian serta sumbang saran itu akan dikemukakan kepada pihak berwewenang pada masa akan datang.
“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada Mohd Nai’m atas keprihatinannya berkaitan dengan bebanan yang ditanggung oleh Peguam Syarie khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Zainul turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana bersama-sama menyelesaikan perkara itu dengan baik.
Terdahulu Mohd Nai’m dalam kenyataan hari ini mengumumkan tiada pengenaan fi kepada anggota BPSWP di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 di bawah Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini. – BERNAMA