BRICKFIELDS: Penat akibat tiga kali berpindah dalam tempoh 40 tahun berniaga di tepi jalan, lima peniaga gerai di Jalan Tun Sambathan 3, di sini akhirnya menghantar writ saman terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar pokok tidak ditebang dan gerai tidak dirobohkan.
Ia berikutan YTL Corporations Berhad dan DBKL telah mendapat kebenaran untuk menebang pokok-pokok di kawasan sempadan YTL sekaligus menyebabkan 15 gerai berhampiran terjejas.
Writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur pada Mei 2021 dan sejak itu DBKL tidak meneruskan tindakan menebang pokok-pokok berkenaan.
Namun demikian, DBKL telah menebang dua pokok pada sebelah malam, Julai 2022.
Peguambela dan peguamcara, Arivom Namasivaya dari firma Arivom & Co yang mewakili peniaga berkata, terdapat 10 pokok di kawasan berkenaan di mana dua pokok telah ditebang.
“Baru-baru ini pihak peniaga memohon injuksi supaya tidak menebang pokok-pokok dan merobohkan gerai-gerai.
“Permohonan kami belum didengarkan namun tuntutan writ saman masih berjalan.
“Alasan DBKL mengosongkan lokasi itu untuk dijadikan laluan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri serta utiliti bagi bangunan berhampiran termasuk YTL, ” katanya pada sidang media membantah penebangan pokok-pokok di Jalan Tun Sambathan 3, di sini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.
Tambah Arivon, sebelum ini ada perbincangan antara peniaga dan DBKL mengenai isu berkenaan.
“DBKL telah bersetuju untuk menyediakan satu tempat kepada peniaga-peniaga berkenaan.
“Rata-rata peniaga sudah berniaga lebih 40 tahun, dari ibu bapa kini mewariskan perniagaan kepada anak-anak dan mereka kais pagi makan pagi, ini gerai golongan B40 mencari rezeki dan dikunjungi oleh B4O juga.
“Namun setelah writ saman dihantar, cadangan tempat berniaga baharu itu tidak diteruskan.
“Pihak peniaga telah menghantar petisyen kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur memohon agar lokasi ini tidak diganggu dan sedang menunggu jawapan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata nasib pemilik gerai akan dibela adakah DBKL akan kotakan janji PM?” katanya.