HomeBeritaPeningkatan harga di restoran dan hotel penyumbang utama kadar inflasi

Peningkatan harga di restoran dan hotel penyumbang utama kadar inflasi

PUTRAJAYA: Peningkatan harga barangan di restoran dan hotel merupakan penyumbang utama kepada kadar inflasi negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, semua komponen utama indeks harga pengguna (IHP) yang selalu dirujuk sebagai kadar inflasi menyederhana kecuali komponen restoran, hotel dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api yang lain.

“Yang ini yang saya nak tekankan juga kerana ini membentuk keseluruhan kos yang ditanggung rakyat iaitu peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah terutamanya di restoran dan hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi.

“Usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak daripada kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Menara Prisma pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan sekali lagi ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh dan perlu memainkan peranan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi.

“Sebab dari perspektif dasar, kerajaan boleh mengawal beberapa harga bahan mentah contohnya seperti yang dibuat sebelum ini.

“Harga bahan mentah, apabila penawaran harga itu terganggu di pasaran, kerajaan boleh menguatkuasakan supaya bahan mentah itu berada di bawah akta kawalan harga dan harga siling ditetapkan

“Apabila harga siling ditetapkan, maksudnya kerajaan perlu membayar kepada pembekal-pembekal jurang di antara harga siling yang dikenakan kepada rakyat dan juga kos yang ditanggung pembekal atau pengusaha untuk memastikan bekalan itu tidak terjejas,” jelasnya.

Beliau turut memberikan contoh dalam soal harga ayam dan telur, di bebeberapa bulan dalam tahun 2022 yang ada gangguan, maka harga siling ditetapkan dan setakat ini kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 bilion sebagai subsidi ayam dan telur itu.

“Secara dasarnya perkara itu boleh berlaku dari semasa ke semasa mengikut jenis bahan mentah atau pun bahan utama yang dikira perlu dikawal.

“Tetapi sebagai menteri ekonomi, tanggungjawab saya juga memastikan apabila sumber kerajaan telah digunakan untuk sama ada mengawal atau pun membaiki keadaan harga dan juga bekalan di pasaran, serta harga dan bekalan itu telah kembali stabil, akhirnya inflasi itu akan melambangkan bahawa sesetengah bahan mentah itu yang telah pun stabil diterjemahkan kepada pengguna,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor