KUANTAN: Seorang remaja lelaki orang asli berusia 15 tahun maut dipercayai akibat diserang seekor gajah liar di kebun durian di Kampung Tual di Pos Sinderut, Kuala Lipis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Andy Yok Manin pada jam 4.30 petang oleh batin kampung itu.
“Mangsa dikatakan berada di kebun durian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama ahli keluarga.
“Gajah itu dikatakan terlebih dahulu menyerang di Kampung Regang, namun dapat dihalau penduduk menyebabkan ia menuju ke kebun durian itu,” katanya. menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Azli berkata, keluarga mangsa telah membawa balik mayat mangsa ke rumah selepas serangan gajah itu tamat.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – BERNAMA