CYBERJAYA: Dalam kehangatan isu pemberian tunai kepada pengundi yang dilaporkan dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memberi sepatah dua kata.
Timbalan Presiden Amanah itu sempat memberi kenyataan berbaur sindiran menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.
“Sebenarnya tak perlu mengaji hingga ke Al-Azhar untuk kenal antara ‘sedekah’ dan ‘rasuah’,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.
Sebenarnya tak perlu mengaji hingga ke Al Azhar untuk kenal antara Sedekah dan Rasuah.
— Salahuddin Ayub (@MyDSA_official) January 23, 2023
Untuk rekod, kes tersebut mula dibangkitkan selepas UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman pada 3 Januari lalu.
Susulan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi mempertahankan pemberian wang tunai yang didakwa dibuat partinya dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Namun, kenyataan Abdul Hadi itu pula disanggah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyindir apabila tindakan tersebut dibuat oleh PAS, dipanggil sedekah, tetapi jika dibuat oleh UMNO pula dipanggil rasuah.