KUALA LUMPUR: Pengurus wang bertauliah, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan (DDNK) sebelum ini mendedahkan taktik sindiket penipuan yang menggunakan namanya sehingga mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit.
Menggunakan gambar, poster, slogan, petikan suara di radio dan bual bicara serta kandungan daripada laman sosial Nazri juga dimanipulasi kononnya pelaburan yang dibuat mampu mengaut keuntungan dalam tempoh yang singkat.
Isu berkenaan sudah berlarutan selama beberapa tahun dan semakin meruncing dalam tempoh pandemik COVID-19 kerana kelas sahamnya dilakukan secara dalam talian.
Beliau sudah membuat beberapa laporan polis namun kegiatan berkenaan masih aktif dan berleluasa.
Terkini, satu akaun Telegram dengan nama Dato Dr Nazri Khan (Official) sedang aktif memperdayakan orang ramai untuk menyertai skim pelaburan berkenaan.
Empat pakej yang ditawarkan iaitu pakej A modal RM1,900 dapat pulangan RM38,000, pakej B modal RM4,000 dapat pulangan RM85,000, pakej C modal RM7,000 dapat pulangan RM145,000 dan pakej D modal RM10,000 dapat pulangan RM215,000.
Kesemua pulangan ini dijanjikan dapat dalam masa tiga jam.
Seorang pemegang akaun bank bernama Bahar dilihat sentiasa memasukkan pelaburan antara RM3,000 hingga RM5,000.
Scammer berkenaan juga memaparkan resit-resit bayaran pulangan sehingga puluhan ribu kononnya yang diperolehi oleh pelabur.
Ketika ini, hampir 2,000 akaun Telegram individu yang dimasukkan ke dalam kumpulan berkenaan.
Penulis cuba berkomunikasi dengan sindiket dengan bertanya kesahihan pelaburan itu namun mereka kemudiannya menyekat nombor penulis.
Untuk rekod, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menggantung Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal milik Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd (IPAM), Datuk Nazri Khan Adam Khan untuk tempoh enam bulan, berkuat kuasa sejak 6 Oktober 2022.
Menurut pihak pengurusan IPAM, ketika ini, ia sedang membuat rayuan susulan penggantungan itu dan menegaskan penggantungan itu adalah disebabkan pelanggaran pentadbiran, bukan mengenai pengurusan dana.
Persoalannya, kenapa akaun Telegram berkenaan masih aktif walaupun laporan sudah dibuat?