UMNO di peringkat tertinggi hingga ke akar umbi sewajarnya merebut kesempatan untuk bersama Presiden memperkasakan kembali parti terbesar Melayu yang selama ini telah dirosakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
UMNO yang usianya genap 76 tahun ini, bukanlah parti yang pegun, apalagi kebal dari segala perhitungan yang tersasar.
Sepanjang menelusuri onak duri dalam medan politik, sudah tentunya menyaksikan pelbagai ruang kelompongan dan kelemahan seiring penyusunan strategi, dasar dan resmi perjuangan.
Bakat kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya dinilai dengan bijak dan dikritik secara membina kerana beliau sebenarnya sedang cuba ‘membersihkan’ parti daripada kerosakan yang diwariskan oleh Mahathir.
Seharusnya, orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam kepimpinan parti UMNO/BN ‘menghulurkan’ sedikit peluang dan sokongan kepada Ahmad Zahid untuk menyatukan semula orang Melayu dan membanteras ‘lahanat’ dan broker maut dalam parti.
Ini kerana, kepimpinan Ahmad Zahid adalah berdasarkan prinsip demokrasi dan keterbukaan, yang dapat dilihat jelas dalam menyusun strategi wakil calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Sebaliknya, beliau pula dihentam dalam kalangan ahli parti sendiri, tetap berdegil untuk menggunakan isu memporak-perandakan parti dan orang Melayu sendiri.
Senario sebeginilah yang telah berjaya ditinggalkan Mahathir, mengucar-kacirkan parti, akibat perebutan kuasa yang sebenarnya dirancang Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) kini itu.
Mahathir bukanlah mahu selesaikan masalah politik negara sangat, tetapi seakan cuba untuk menutup masalah yang pernah beliau rosakkan olehnya sendiri sebagai contoh salah guna kuasa dalam politik dan institusi kerajaan seperti badan kehakiman.
Ketika ini juga, meskipun sudah beberapa kali sakit dan kembali pulih kesihatan di usia senja, Mahathir seolah mempunyai ‘saka’ luar biasa apabila terus meratib nama musuhnya.
Mahathir ketika ini kononnya bimbang dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, walhal tidak mahu kedua-dua sahabat parti itu mendedahkan segala kerosakan ditinggalkannya dan menjadi masalah baginya.
Anwar dan Ahmad Zahid tahu segala yang berlaku ketika di bawah kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri Keempat, ketika itu kerana kedua-duanya lantang dalam parti.
Mahathir juga didakwa akan terus menjatuhkan Ahmad Zahid sehingga kalah sebagai Presiden parti dalam pemilihan UMNO akan datang.
Ia sekali gus bukan sahaja boleh menumbangkan Kerajaan Perpaduan ketika ini, malah Presiden baharu dipercayai akan membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sama sahaja nadanya dengan kepimpinan Mahathir yang wujud salah guna kuasa seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Berbeza pula ketika era kuku besinya, tidak ada langsung jawatan Presiden dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kecuali Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ini juga secara jelas menunjukkan situasi politik tidak sihat, yang telah menjadi barah dalam UMNO sehingga keterbukaan Ahmad Zahid melaksanakan kepimpinan demokrasi dinafikan secara noktah.
Jadi, bilakah orang Melayu boleh bersatu menuju perpaduan seperti awal penubuhannya, yang dibidani kelahirannya melalui muafakat pelbagai kumpulan madani Melayu, yang mahukan tanahair yang merdeka?
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI