MELAKA: Seekor tapir dianggarkan seberat 250 hingga 290 kilogram ditemukan sesat di tingkat lima kawasan parkir kenderaan di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini, sebelum ditangkap dan dipindahkan ke Zoo Melaka.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Firdaus Mahmood berkata, pihaknya bersama dengan petugas bomba mengambil masa kira-kira empat jam dalam operasi menangkap dan memindahkan haiwan itu.
“Pihak Perhilitan telah membuat pemerhatian dan cuba mengesan tapir itu sejak dua minggu lepas yang dipercayai sesat dari habitat asal iaitu kawasan hutan di utara Melaka yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.
“Kita juga mendapat maklumat dan panggilan mengenai kewujudan tapir ini di beberapa tempat (sebelum ini) namun tidak berjaya dijejaki sehingga akhirnya ia ditemukan hari ini, sesat di tingkat lima, ia dipercayai naik ke tingkat atas mengikut laluan kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pada mulanya 10 anggota Perhilitan digerakkan ke hotel berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kemunculan haiwan itu, dan mereka menunggu tapir itu sehingga ia tenang dan stabil sebelum menangkapnya.
Katanya tapir itu mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki dan dipindahkan ke Zoo Melaka untuk dirawat sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.
Sementara itu komander operasi bomba Melaka, Pegawai Bomba Kanan II Sopian Hassan berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kemunculan haiwan itu pada kira-kira pukul 9.04 pagi.
“Sejurus tiba lima minit kemudian di lokasi kita dapati ada seekor tapir di tingkat lima hotel dan meminta Perhilitan untuk menangkap haiwan itu. Operasi tamat pada pukul 2.30 petang,” katanya. – BERNAMA