SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa dikekalkan seperti biasa.
Menurutnya, sebarang keputusan berkenaan SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini COVID-19.
Katanya lagi, SOP yang dikenakan kepada pelancong yang tiba di Malaysia termasuk dari negara China adalah sama dengan ketibaan dari negara-negara lain.
“Tentulah tidak bijaksana untuk selektif dan saya fikir tidak tepat untuk negara ambil pendirian begitu,” katanya selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan tidak akan bertolak ansur demi kepentingan menjaga keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman kesihatan termasuk wabak COVID-19.
Jelasnya, pelancong yang dikenal pasti mengalami demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.
“Kalau suhu 37 darjah celsius, mereka letak (pelancong) di point khusus untuk buat semakan, kalau kekal dengan rekod tanda-tanda iaitu positif…terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya lagi.