KUALA KUBU BHARU: Seorang tukang masak warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lelaki di sebuah pusat jagaan sakit mental di Bukit Beruntung di sini, Disember lepas.
Tertuduh, Mohammad Abdul Alim, 33, didakwa membunuh Leong Kam Ming, 52, di sebuah pusat jagaan sakit mental, Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung di sini, kira-kira 6.30 petang pada 24 Disember 2022.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mohammad mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di dalam negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama, pada 2.23 pagi, 27 Disember 2022.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA