HomeBeritaPolitikUMNO tak boleh berdepan musuh jika ada duri dalam daging - Isham...

UMNO tak boleh berdepan musuh jika ada duri dalam daging – Isham Jalil

CYBERJAYA: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menegaskan buat masa kini, UMNO perlu bertegas demi menghadapi cabaran-cabaran di masa akan datang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemecatan dan penggantungan enam ahli UMNO yang diputuskan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn,Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selaku salah seorang MKT, beliau yakin Lembaga Disiplin UMNO telah membuat penelitian terhadap laporan-laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum membuat keputusan.

“Persoalannya, adakah kita perlu menjadi lembut atau lembik dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa apa-apa tindakan? Dalam hal ini kita perlu bertegas.

“Sebab UMNO kini berada dalam masa yang penting untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang, kita tidak boleh berjuang dan menentang musuh dalam perang jika ada duri dalam daging di tubuh.

“Dalam setiap organisasi perlu ada disiplin, jika tidak organisasi akan menjadi anarki, porak peranda, berpecah belah dan lemah serta mudah ditewaskan musuh. Sebab itu contohnya dalam tentera disiplin adalah perkara yang paling utama,” katanya di Facebook pada Ahad.

Isham memberi contoh seperti kekalahan dihadapi tentera Islam dalam perang Uhud kerana sebahagian daripada mereka tidak berdisiplin dan segera ingin mencari harta rampasan perang untuk diri sendiri tanpa menghiraukan arahan Rasulullah SAW.

“Walaupun UMNO adalah parti politik dan bukan organisasi tentera yang mana hukuman tidak mendengar arahan dalam tentera adalah seberat hukuman mati, namun setiap individu dalam organisasi yang bukan tentera pun perlu ikut disiplin berorganisasi supaya organisasi sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah.

“Dan hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, ahli-ahli UMNO yang dikenakan tindakan tersebut masih lagi boleh merayu atau berjumpa lagi dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari atau esok.

Menurutnya, mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali, serta boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah.

“Namun saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ini akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan.

“Akhir kata, saya ingin nyatakan supaya ahli-ahli UMNO yang telah digantung dan dipecat di atas supaya bersabar dengan cabaran Allah ini.

“Saya dahulu pun pernah dipecat daripada jawatan parti walaupun bukan kerana kesalahan disiplin, oleh itu saya tahu bagaimana rasanya apabila kita dipecat.

“Namun saya percaya untung nasib kita ditentukan oleh Allah dan bukan oleh manusia, jika kita berjuang dengan ikhlas dan terus istiqamah, Allah akan bantu kita, inshaAllah,” pesan beliau.

Author

Pilihan Editor