HomeBeritaViralUstaz CEO tegur kejahilan lelaki, guna 'sunnah' untuk poligami

Ustaz CEO tegur kejahilan lelaki, guna ‘sunnah’ untuk poligami

KUALA LUMPUR: Poligami apabila disalah erti oleh kejahilan dalam kalangan lelaki, boleh menyebabkan berlaku kacau-bilau.

Pengasas Inai Republic, Azam Azhary yang dikenali sebagai Ustaz CEO menegur lelaki yang sengaja menggunakan perkataan sunnah Nabi SAW jika melibatkan poligami.

Sedangkan, katanya apa yang Nabi SAW buat bukanlah semua secara automatik adalah sunnah.

Sunna atau sunnah adalah terma bahasa Arab, merujuk dalam bahasa Melayu adalah sesuatu yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW yang merupakan perbuatan, ketetapan, peribadi, akhlak, mahupun perilaku, sesudah dilantik menjadi Rasul, yang dipersetujui sahabat nabi.

“Siapa kata poligami itu sunnah? Ramai orang zaman sekarang ini bila dia nak berpoligami dia akan menggunakan perkataan sunnah Nabi SAW buat.

“Bukan semua yang Nabi buat automatik jadi sunnah, sebab perkara terma sunnah itu sendiri ada sangat banyak maksud di sisi para fuqaha (ahli fikah),” katanya menerusi perkongsian di Tiktoknya menggunakan akaun Ustaz CEO yang sudah diulang tayang lebih 200,000 kali.

Tangkap layar TikTok Ustaz CEO

Azam yang juga suami pada pengasas utama Inai Republic, Syarifah Furaiha itu berkata, dalam bab poligami juga ada yang menyalahgunakan hadis atau ayat al-Quran, selain terma dan perkataan sunnah itu sendiri.

“Jadi, apabila disalah erti, disalahgunakan, disebabkan berleluasa kejahilan di kalangan kaum lelaki, maka yang berlaku adalah kacau bilau, semua orang ambil mudah dalam isu ini.

“Kita tidak boleh hanya sebab ada ayat al-Quran, terus kita keluarkan hukum sendiri, faham sendiri bahawa poligami (itu) sunnah, sebab Nabi SAW berpoligami. Tidak!.

“Tidak semudah itu kita mengeluarkan hukum daripada ayat-ayat dan nas. Sebab itu kita kena faham dalam ilmu usul fikah,” katanya.

Beliau juga turut berkata ada para ulama membahaskan hukum sebenar poligami terbahagi kepada tiga tetapi tidak dijelaskan lanjut dalam video berdurasi satu minit 30 saat itu.

Author

Pilihan Editor