HomeBeritaViralWanita khunsa kongsi kisah diri memiliki rahim 'bertanduk'

Wanita khunsa kongsi kisah diri memiliki rahim ‘bertanduk’

KUALA TERENGGANU: Warga netizen di negara ini semakin terbuka mendedahkan kisah kehidupan dan pengalaman unik masing-masing untuk perhatian, di aplikasi Tiktok.

Seorang surirumah, Nur Hasmidah Hamzah, 32, tidak ketinggalan berkongsi kisah unik dirinya yang mempunyai rahim bertanduk dan berbentuk hati atau nama saintifiknya, ‘bicornuate bicollis uterus’.

Nur Hasmidah mengambil pendekatan itu selepas mendapat keizinan suami bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di negara ini mengenai kesihatan wanita berdasarkan pengalamannya.

Pada zahirnya, Nur Hasmidah dilihat seperti wanita lain, tetap dia sebenarnya terdiri daripada golongan khunsa memiliki dua rahim, dua pangkal rahim dan dua vagina, selain satu buah pinggang.

Katanya, memiliki dua rahim hanya diketahuinya ketika berusia 26 tahun dan masih bujang.

Katanya, ia bermula selepas terbabit dengan aktiviti mendaki gunung, dan mengalami senggugut serta mengalami kitaran haid berterusan selama tiga bulan.

Dia kemudian menemui doktor dan terkejut apabila dimaklumkan mempunyai rahim unik.

Katanya, doktor menerangkan kepadanya keunikan dua rahim, bentuknya dan segala kemungkinan dimiliki kebanyakan pemilik dua rahim iaitu ada dua saluran peranakan dan dua vagina.

Dari segi perubatan, apabila seseorang itu mempunyai dua alat kelamin, walau tidak berbeza jantina, dia dikategorikan sebagai khunsa.

“Doktor maklumkan yang keadaan rahim saya unik. Nisbah satu dalam sejuta dan tidak ramai yang mempunyai dua rahim tetapi ada (kes seperti itu),” katanya kepada media.

Nur Hasmidah berkata, dia mengalami kitaran haid dua kali sebulan.

Kemudian, dia menjalani ujian Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) enam tahun lalu dan disahkan pula, memiliki dua pangkal rahim, dua vagina serta satu buah pinggang.

“Saya kemudiannya perlu menjalani MRI sekali lagi tetapi saya tak pergi dan hanya buat ujian itu selepas berkahwin dan bersalin anak perempuan sebelum diberitahu mengenai keunikan lain,” katanya.

Menurut Nur Hasmidah, seperti dimaklumkan doktor, memiliki dua rahim tidak berbahaya tetapi unik.

Namun, katanya, wanita seperti ini sukar hamil dan jika hamil, mereka berisiko tinggi untuk keguguran dan kelahiran bayi pra matang berikutan ruang rahim sempit akibat rahim abnormal.

Ramai wanita berterima kasih kepadanya kerana berkongsi cerita mengenai dua rahim dan mengakui ia ilmu baharu kerana situasi itu jarang berlaku.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana dalam situasi itu, Allah SWT memberinya anugerah terindah apabila disahkan hamil selepas sebulan berkahwin ketika berusia 29 tahun.

“Ketika hamil, memang kena jaga kandungan dengan baik dan selepas saya disahkan memiliki satu buah pinggang, doktor menyarankan saya lebih menjaga pemakanan.

“Saya juga bersyukur kerana suami menerima saya dan selalu memberi sokongan dan semangat. Keluarga juga turut memberi sokongan kepada saya,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun itu.

Justeru, katanya, sebagai seorang wanita dan ibu, dia mahu ibu bapa lebih cakna mengenai anak kerana sebelum ini, dia terlalu mengambil mudah selain kurang kesedaran untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika berusia 14 tahun, saya pernah tumpah darah di asrama sekolah tetapi tidak memaklumkannya kepada guru, ibu atau ahli keluarga lain kerana tiada keyakinan selain takut dimarahi serta takut berjumpa doktor.

Author

Pilihan Editor