HomeBeritaViralWanita Rusia kongsi cerita panjat Menara Merdeka 118 dikecam netizen

Wanita Rusia kongsi cerita panjat Menara Merdeka 118 dikecam netizen

CYBERJAYA: Seorang wanita daripada pasangan Rusia yang tular memanjat Menara Merdeka 118 dikecam warga maya Malaysia selepas berkongsikan pengalamannya menceroboh untuk memanjat puncak bangunan itu.

Terdahulu, tular gambar Angela Nikolau dan pasangannya, Ivan Beerkus yang berada di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu selepas gambar yang mereka kongsi dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Susulan tindakan mereka menimbulkan persoalan ramai, polis menerima satu laporan daripada pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee, pada 29 Disember tahun lalu untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, Angela baru-baru ini berkongsikan pengalamannya melakukan perbuatan menceroboh bangunan pencakar langit setinggi 118 tingkat itu menerusi Twitternya pada Rabu.

https://twitter.com/AngelaNikolau_/status/1610653105737302022?s=20&t=Ej98dI-QE_bJ76MpoblJ4g

Bermula dengan menyewa sebuah apartment berdekatan menara itu untuk melakukan pemerhatian, Angela berkata, dia kemudiannya menyamar dengan memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memasuki menara tersebut.

“Ini saya 25 jam kemudian. Saya tidak mempunyai makanan, tidak ada air dan tidak tidur. Saya tidak dapat meregangkan kaki saya dan seluruh badan saya kaku dan sakit.

“Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada di sebelah saya dan mereka dapat mendengar tangisan saya dan menyerahkan saya kepada pihak keselamatan. Masa paling teruk dalam hidup saya.

“Tiga jam kemudian saya fikir jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi. Saya perlu menguatkan diri saya dan mula melakukan sesuatu. Nasib baik pekerja berehat dan saya boleh keluar dan berlari ke puncak menara! Ini saya berdiri di dalam menara,” katanya.

Menurut Angela, dia mahu orang lain juga memiliki pencapaian melakukannya untuk melihat keindahan dari situ walaupun pendakian itu paling sukar dalam hidupnya.

Namun, perkongsiannya itu turut mengundang kecaman warga maya dari Malaysia yang mempersoalkan isu keselamatan bangunan pencakar langit Malaysia yang diceroboh.

“Anda menulis ini seolah-olah ini adalah plot filem dan kami patut memuji anda kerana anda hampir ditangkap atau kehabisan makanan atau air tetapi sebenarnya perkara ini tidak diperlukan dan menyalahi undang-undang? Apatah lagi menggunakan tudung sebagai menyamar? Tudung bukan ninja-yoroi,” kata pengguna Twitter, @CeddyOrNot.

Pengguna Twitter, @datukhensem pula berkata sesiapa yang terlibat dengan isu keselamatan menara itu patut dipecat kerana membiarkan perkara itu dan berkemungkinan mengundang niat jahat dari pihak lain.

“Kalau nak ambik tindakan dekat pelaku sudah tentulah tak dapat. Sebab mesti sudah keluar dari Malaysia. Dia bukan bodoh nak ‘post’ video ketika masih berada di Malaysia. Paling-paling dia boleh di-‘blacklist’ sahaja,” kata @datukhensem.

“Bayangkan apa yang akan berlaku jika rakyat Malaysia menceroboh bangunan Rusia dan melakukan perkara seperti ini. Anda harus disabitkan kesalahan dan bertanggungjawab atas tindakan berani anda,” kata pengguna Twitter, @reinrax kepada Angela.

“Kalau kau jatuh mati, sudah tentu seluruh kementerian negara kau mengecam kami dan menunding jari kepada kami kononnya tidak menjaga rakyatnya,” tulis pengguna Twitter, @startingwithL kesal.

“Ini tidak menghormati negara kita. Anda menyamar sebagai seorang Muslimah dan kemudian melakukan semua ini yang jelas menceroboh adalah satu penghinaan. Anda sangat biadap terhadap negara kami. Anda tidak dialu-alukan di sini,” kata pengguna Twitter, @calmdiamond.

Author

Pilihan Editor