HomeBeritaWira PUTRA sedia tentang pihak cuba ugut badan kehakiman

Wira PUTRA sedia tentang pihak cuba ugut badan kehakiman

CYBERJAYA: Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menyifatkan kumpulan atau golongan yang cuba menakut-nakutkan badan kehakiman berdasarkan kes politik yang pernah dibicarakan sebagai sangat tidak wajar.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan terdapat percubaan pihak tertentu untuk menakutkan badan kehakiman dalam kes politik yang dibicarakan tahun lepas semasa ucapan pada Tahun Pembukaan Tahun Undang-Undang 2023 pada Isnin.

Mengulas perkara itu, Nasrul berkata, badan kehakiman adalah satu badan yang menjulang kedaulatan undang-undang dan segala yang diputus atau hukuman yang dijatuhkan pastinya berdasarkan fakta dan pembuktian yang telah diteliti.

Tegasnya, Wira PUTRA mengutuk sekeras-kerasnya kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menakut-nakutkan atau cuba menggugat badan kehakiman.

“Golongan ini boleh diumpamakan sebagai perosak kebebasan badan kehakiman dan mempunyai nilai moral yang rendah kerana membuat tekanan lebih kepada kepentingan golongan mereka dan tidak mengendahkan kepentingan awam.

“Wira PUTRA tetap berdiri teguh dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman kerana Badan Kehakiman adalah salah satu daripada cabang institusi sistem Raja Berperlembagaan.

“Hakim-hakim yang ditugaskan adalah daripada kalangan yang bijak dan mahir dalam bidang perundangan maka tidak perlu bimbang dan rasa takut dengan sebarang ugutan atau apa jua cubaan menakut-nakutkan ini kerana majoriti rakyat Malaysia bersama para hakim.

“Wira PUTRA sedia bertempur dan bergasak dalam apa bentuk keadaan dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat badan kehakiman lebih-lebih lagi yang bermotifkan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menambah Wira PUTRA adalah umpama kecil-kecil cili padi atau kala jengking, walau kecil tetapi sentiasa berwaspada dengan apa saja kemungkinan.

Author

Pilihan Editor