HomeBeritaYWP tidak pernah terima dana kerajaan

YWP tidak pernah terima dana kerajaan

CHERAS: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menegaskan tidak pernah menerima sebarang dana pentadbiran pihak kerajaan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, punca dana YWP adalah hasil perniagaan dan sumbangan korporat.

Datuk Zaizalnizam Zainun

Katanya, kira-kira 80 peratus dana memang ditetapkan sebagai agihan wajib manakala baki 20 peratus bagi pelaksanaan pengurusan.

Ia bertepatan dengan objektif YWP yang menerima mengumpul, mengurus dana bagi penyampaian bantuan dan meningkatkan taraf ekonomi golongan bersasar merangkumi pelbagai aspek sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Maka, adalah penting YWP terus diperkasa sebagai yayasan mantap yang dipengerusikan oleh wakil menteri atau kerajaan membantu negara dalam menyelesaikan isu rakyat.

“Justeru saya bersyukur hari ini program dapat dilaksanakan di pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang dihadiri Ahli Parlimennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail walaupun kita faham beliau amat sibuk lebih-lebih lagi sebagai isteri kepada Perdana Menteri,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian pada program Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal, Penyerahan Surat Tawaran Skim Mikrokredit dan Bantuan Khas YWP oleh isteri Perdana Menteri kepada penduduk Bandar Tun Razak di pejabatnya di Bandar Sri Permaisuri.

Masing-masing 27 penerima bantuan skim bantuan awal ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) antara RM500 hingga RM2,000 bergantung peringkat pengajian; sembilan penerima skim mikrokredit berjumlah RM5,000.

Seorang lagi penerima bantuan khas RM500 merupakan ketua keluarga menanggung seorang anak orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dan kematian ibu bapa.

Untuk rekod, YWP telah ditubuhkan pada 9 April 1986, dan sudah membantu 400,000 pelajar golongan B40. YWP juga membantu 1,140 penerima manfaat pelbagai kategori melibatkan lebih RM310,000 sepanjang 2022.

Sementara itu, ibu tunggal, Rokiah Kamaruddin, ketika ditemui menerima bantuan awal IPT sebanyak RM1,000 bagi pihak anak perempuannya yang baru memulakan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau yang menjalankan perniagaan sabun pencuci secara kecil-kecilan itu berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu kos pengajian anaknya kerana belum menerima kelulusan bantuan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Anak saya di semester satu pengajian, memerlukan perbelanjaan permulaan kerana belum terima bantuan PTPTN.

“Saya bersyukur kerana bantuan ini meringankan bebannya dalam kerja-kerja khusus anak,” katanya.

Author

Pilihan Editor