SETAPAK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri sebagai pemudah cara bagi memperkasakan program Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra).
Zahid berkata, kerajaan perlu memfokuskan semula isu dan cabaran yang dihadapi Felcra, dan pada masa yang sama mahu agensi itu melaksanakan anjakan paradigma dalam hala tuju baharu fasa Transformasi 2.0.
“Felcra harus mempunyai hala tuju baharu dalam Transformasi 2.0. Saya akan bantu, saya akan jadi pemudahcara, fasilitator memperkasa program Felcra.
“Kalau kita bekerjasama, saya takkan goncangkan mana-mana sampan untuk (penumpang) terkeluar dari muatan sampan. There will be never rocking the boat.
“Asalkan kita lakukan yang terbaik untuk Allah SWT, organisasi dan rakyat,” katanya dalam ucapan pada program taklimat penyampaian Felcra dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Felcra Bhd, Datuk Mat Roni Zakaria di Wisma Felcra, di sini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berkata, Felcra harus memfokuskan semula isu dan cabaran yang dihadapi ketika ini sebagaimana yang dibentangkan oleh CEO.
“Ia satu realiti cabaran dalaman dan luaran yang harus kita depani masalah ini tanpa melupakan tanggungjawab sosial, keberuntungan komersial dan sumbangan pengeluaran keterjaminan makanan,” katanya.
Katanya, perimbangan tiga elemen itu harus ditangani segera, tanpa melakukan elemen dengan melihat bahawa Felcra harus terus memperoleh suntikan dana kerajaan.
“Felcra harus terus berdiri, ‘self sufficient’, guna dana dalaman untuk melaksanakan semua program tanpa bergantung dana kerajaan.
“Ini cabaran kita, saya yakin Felcra mampu melakukannya dalam waktu terdekat. Saya akan datang lagi untuk lihat kejayaan baharu Felcra,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tekun mendengar dan membuat catitan ketika taklimat disampaikan oleh CEO Felcra yang berlangsung selama tempoh lebih satu jam.
Beliau mula mencatit maklumat di buku nota mini, miliknya sebaik pembentangan slaid di skrin besar Dewan Auditorium wisma, mengenai isu dan cabaran Felcra.
Antara yang dipaparkan ialah landbank belum mencukupi, caj pengurusan di bawah kadar, tahap produktiviti per hektar ladang yang masih boleh dipertingkatkan.
Selain itu, kekurangan belanja modal, rizab syarikat, projek kurang berdaya maju (KBM), dana mandat sosial tidak mencukupi dan kesepaduan pekerja.
Ia termasuk harga komoditi pasaran global, polisi negara pengeluar ‘edible oil’, sawit, pembeli sawit, pembekal tenaga kerja, alam sekitar sedunia, selain sumber dana dalaman tidak mencukupi, bencana alam serta penguncupan keluasan projek P&P peserta.