HomeBeritaPolitikZahid yakin ahli UMNO tahu beza antara kaca dan permata

Zahid yakin ahli UMNO tahu beza antara kaca dan permata

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Presiden dalam Pemilihan UMNO yang akan datang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau yakin dengan proses demokrasi dan berserah kepada perwakilan UMNO untuk menentukannya.

“Ada lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti. Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.

“Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’.

“Kini parti kita sekali lagi berada di Putrajaya. Rakyat ingin melihat kemampuan serta prestasi kita yang mewakili UMNO dalam kerajaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Dalam hantaran sama, beliau turut menekankan faktor Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan memilih bersama PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Antaranya ialah berkenaan Perikatan Nasional (PN) menolak gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang diusulkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.

“Penolakan ini disebabkan ketua Perikatan Nasional mendakwa, mempunyai jumlah Akuan Bersumpah yang mencukupi, untuk membentuk kerajaan.

“Rupa-rupanya Akuan Bersumpah ini, termasuk 10 daripada wakil BN yang telah memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU15), tanpa merujuk kepada parti.

“Faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN? Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor