KUALA LUMPUR: Perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengalami penyingkiran pusingan awal kali ketiga berturut-turut apabila tumpas kepada pemain berpengalaman Hong Kong, Angus Ng Ka Long, pada pusingan kedua, Indonesia Masters 2023,di Jakarta, malam ini.
Pada pertarungan selama 65 minit di Stadium Istora Senayan, Zii Jia, pilihan kedua kejohanan, memulakan saingan dengan menang 21-16 sebelum tunduk 20-22 dan 13-21 pada set penentuan kepada pemain ranking ke-18 dunia itu.
Pada saingan suku akhir esok, Ka Long akan berdepan dengan wakil Jepun, Kanta Tsuneyyama, yang turut menewaskan pemain Denmark, Anders Antonsen, 21-16, 21-10, pada aksi pusingan kedua.
Sebelum ini, Zii Jia, turut terkandas pada pusingan kedua, masing-masing pada Terbuka Malaysia 2023, awal bulan ini, dan Terbuka India 2023, minggu lalu.
Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas Ng Tze Yong turut tersingkir di pusingan kedua selepas kalah kali keempat di tangan pemain India, Lakshya Sen, 21-19, 8-21, 17-21.
Pemain India itu menewaskan Tze Yong pada pertemuan pertama di suku akhir Cabaran Antarabangsa Balngadesh 2019 diikuti final Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan separuh akhir Terbuka India 2022.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Peng Jing, selaku pilihan kedua, gagal ke suku akhir selepas dikejutkan oleh gandingan tuan rumah, Jafar Hidayutullah-Aisyah Salsabila Putri Pranata, 21-15, 7-21, 21-14.
Gandingan Indonesia bukan pilihan itu akan menentang gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di suku akhir.
Sebelum itu, wakil China itu mengesahkan slot suku akhir selepas menundukkan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, 21-16, 21-8, pada pusingan kedua. – BERNAMA