HomeBeritaAnwar dijangka terbang ke Turkiye malam ini, zahir sokongan moral dari Malaysia

Anwar dijangka terbang ke Turkiye malam ini, zahir sokongan moral dari Malaysia

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang untuk ke Turkiye malam ini bagi memberi sokongan moral kepada rakyat negara itu serta Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon sebanyak dua kali daripada Erdogan sejak bencana alam berkenaan melanda Turkiye.

“Saya diminta oleh Presiden (Erdogan) kalau boleh untuk segera ke sana untuk memberikan sokongan moral dan saya sedang mempertimbang untuk sama ada terpaksa bertolak ke sana malam ini.

“(Saya ke sana) untuk menunjukkan sokongan negara kita kerana beberapa negara sudah sampai dan Presiden (Erdogan) sendiri meminta saya secara peribadi untuk ke sana kalau boleh malam ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Anwar, Erdogan turut menzahirkan penghargaan atas usaha Malaysia dalam membantu negara terbabit.

Malah, Malaysia merupakan antara pasukan mencari dan menyelamat (SAR) asing yang terawal tiba di Turkiye.

“Dalam panggilan kedua, Presiden Turkiye masih memohon kerjasama dan pertolongan kita. Beliau juga laporkan kepada saya bahawa penghargaan rakyat Turkiye amat tinggi terhadap usaha dan khidmat pasukan Malaysia,” maklumnya.

Pada masa sama, Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM20 juta untuk digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria.

Dana itu turut merangkumi AS$2 juta sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, manakala bakinya disumbangkan oleh beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat.

Katanya lagi, kerajaan sudah banyak berjimat dalam urusan penghantaran dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk misi mencari dan menyelamat (SAR) ke Turkiye, dengan semua kos penerbangan menghantar 140 anggota SAR itu ditanggung negara berkenaan.

“Kos pasukan SMART telah banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung syarikat penerbangan Turkiye.

“Setakat ini, sekitar RM4 juta dibelanjakan untuk kita menghantar dua pasukan SMART. Malam ini, satu lagi pasukan akan turut dihantar yang termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Antara lain pasukan kita telah mewujudkan kemudahan hospital medan yang telah dipasang dan beroperasi di Turkiye,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor