MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menolak bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut selepas mendapati dua daripada empat asas bantahan awal yang yang dikemukakan mempunyai merit untuk ditolak mengikut Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau berkata, mahkamah menerima bantahan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut Seksyen 38 akta sama dan kandungan petisyen berkaitan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding tidak jelas dan tidak diperincikan.
“Mahkamah turut mengisytiharkan pemilihan Mas Ermieyati sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada PRU15 itu adalah sah di samping mengarahkan plantif membayar kos perundangan sebanyak RM20,000,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili Abdul Hakim berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.
Pada 3 Januari lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen tersebut di Mahkamah Tinggi Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional kerana mendakwa berlaku rasuah berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.
Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden menerusi peguamnya, Mohd Faizi Che Abu, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.
Pada PRU15, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti MUDA dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Nakar. – BERNAMA