KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC) membela diri atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan dengan memberikan pelbagai kontrak termasuk pembekalan barangan kepada menantu dan anaknya berjumlah RM1.64 juta.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rohaizat Ahmad, 58.
“Mahkamah telah mendengar dan meneliti secara penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak.
“Berikutan itu anggapan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berjaya ditimbulkan oleh pendakwaan yang kamu (Rohaizat) menggunakan jawatan dan kedudukan kamu untuk apa-apa suapan. Oleh itu kamu diperintahkan membela diri atas 33 pertuduhan tersebut,” kata hakim itu.
Azura dalam penghakimannya berkata mahkamah juga berpuas hati bahawa Rohaizat, di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 menggunakan kedudukan dan jawatannya bagi mendapatkan suapan bagi saudaranya.
Seramai 40 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada Januari 2020.
Hakim kemudian menetapkan prosiding bela diri kes itu berlangsung selama sembilan hari iaitu 22, 27 dan 28 Mac serta 3, 4, 5, 6, 17 dan 18 April.
Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim mewakili Rohaizat memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan empat saksi termasuk anak guamnya yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya sebagai pembekal kepada FTC antaranya peralatan elektronik, cenderahati, baju kurung, kemeja-T berkolar selain pengendali program latihan kemahiran.
Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan bagi anaknya dengan melantik syarikat milik anaknya iaitu Hexa Tech Pride sebagai pembekal kepada FTC antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan.
Kesemua pertuduhan yang melibatkan jumlah RM1.648,810.60 itu didakwa dilakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – BERNAMA