KAJANG: Kebiasaannya orang fobia hendak ke hospital kerana apabila di kotak fikiran pasti terfikir bosan, bau cecair nyahkuman dan banyak kuman.
Namun sebaik sahaja melangkah membuka pintu bilik Zamrud Wad 3 di Kajang Plaza Medical Centre (KPMC), pastinya segala persepsi negatif itu hilang dan pengunjung akan rasa ‘wow’ kerana bilik wadnya bak hotel lima bintang.
Bilik-bilik di Wad 3 dengan nama diberi seperti Delima, Berlian, Baiduri, Aquamarine, Turquoise, Nilam memiliki keistimewaan masing-masing memberi pilihan kepada pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, bilik-bilik di Wad 3 KPMC menyediakan ruang eksklusif, kondusif dan menenangkan sesiapa sahaja yang berada di sana.
“Orang ramai akan merasai pengalaman seperti berada butik hotel bukan di hospital dan saya lihat konsepnya merawat sambil meditasi.
“Jika sebelum ini ramai fobia dengan hospital, tetapi KPMC berjaya hilangkan fobia itu, datang sini macam tinggal di hotel.
“Ini bukan pujian semata-mata tetapi ia satu tanda aras kerana apabila Tourism Selangor memilih untuk mengetengahkan sesuatu, kami pastikan kualitinya setanding.
“Kita tidak mahu apabila tengok di TikTok cantik tetapi apabila pergi ke tempat lain tidak seperti yang diiklankan menyebabkan orang kecewa.
“Bagaimanapun, KPMC ini diterjemahkan sebagaimana apa yang diiklankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan merasmikan pembukaan Wad 3 Medical Tourism KPMC pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi yang turut memberi penerangan bagaimana Wad 3 Medical Tourism KPMC berfungsi menerima pelancong-pelancong dari luar negara.
Dalam pada itu, Azrul berkata, industri Pelancongan Perubatan (Medical Tourism) semakin berkembang dan memiliki masa depan yang baik khususnya di Selangor.
“Mengikut kajian sebanyak RM80 bilion telah dibelanjakan oleh pelancong-pelancong untuk perubatan di Malaysia sepanjang tahun lalu.
“Bagaimanapun, Selangor yang paling tinggi dicatatkan kehadiran pelancong untuk mendapat rawatan.
“Ada yang datang untuk mendapatkan rawatan estetik, kardiovaskular, rawatan ‘minor’ sambil melancong.
“Mereka diberi layanan VIP dari lapangan terbang ke hospital, keluarga boleh sertai bersama dan ini kita namakan satu limpahan ekonomi kepada semua orang.
“Di sini ada destinasi Pelancongan Makanan seperti Satey Kajang di mana mereka boleh singgah menikmatinya sepanjang berada di Kajang” katanya.