CYBERJAYA: Jenama pakaian terkemuka Malaysia, Bulan Bintang menyasarkan satu juta unit pakaian terjual sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengasasnya, Azzim Zahid Azmi, 26, berkata, Bulan Bintang menawarkan koleksi raya ‘Ready To Wear’ (RTW) sedondon seisi keluarga yang menarik pada kali ini dengan 68 rekaan berserta 326 pilihan warna eksklusif.
Kesemua koleksi raya yang telah diperkenalkan menerusi sebuah pertunjukan fesyen Bulan Bintang nyata mendapat perhatian umum.
Malah, rata-rata warga maya kagum dengan pertunjukan fesyen bertemakan ‘Takes The Sky’ itu kerana disifatkan bertaraf antarabangsa.
Pertunjukan itu menyaksikan persembahan dron terbanyak hingga berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Menurut Azzim, pihaknya membelanjakan RM2 juta untuk merealisasikan pertunjukan berkenaan.
“Kami mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen. Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom.
“Saya mendapat inspirasi selepas melihat kehebatan formasi dron ini ketika bercuti ke luar negara. Apa yang dapat saya simpulkan, kos untuk formasi ini sendiri menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan. Kiranya untuk Bulan Bintang Takes The Sky ia menelan belanja RM2 juta,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menerusi pertunjukan fesyen tersebut, Bulan Bintang turut memperkenalkan penampilan barisan duta dalam kalangan selebriti seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.