KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang sering melompat parti.
Beliau berkata, ini bagi menghentikan tindakan tersebut memandangkan ia kerap berlaku di Sabah yang disifatkannya sebagai satu perkara memalukan.
“Di Sabah ini terkenal dengan wakil rakyat dia melompat parti. Dia memasang hasrat bertanding dan menang sahaja dia akan cari peluang di mana sahaja dia boleh lompat untuk dia jadi menteri, untuk jadi pembantu menteri.
“Asal jadi pengkhianat (parti) dapat jawatan, jadi pengkhianat, lompat jadi menteri walaupun tidak layak,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut mempertikai tindakan kerajaan Sabah yang masih belum membentangkan rang undang-undang anti lompat parti sehingga menyebabkan situasi yang sama terus berulang sehingga mencalar integriti negeri itu.
Media hari ini melaporkan lima ADUN UMNO Sabah mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga bekas ADUN Parti Warisan (Warisan). – BERNAMA