KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat kajian terperinci mengenai cadangan menempatkan penguat kuasa di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, setiap hari.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, penempatan penguat kuasa DBKL di kedua-dua pasar itu jika dilaksanakan kelak boleh menghindari etnik Rohingya daripada berniaga semula di kawasan itu walaupun telah diserbu beberapa kali sebelum ini.
“Kajian ini dibuat berdasarkan cadangan daripada peniaga dan orang awam di sana, yang berharap agar perkara ini dapat diatasi dengan segera.
“Bagaimanapun, kita masih perlu mengambil perhatian mengenai beberapa perkara seperti kekuatan anggota yang kita ada, agar ia tidak menimbulkan masalah lain pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Minggu Harmoni 2023, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil kajian itu, DBKL berharap satu program yang lebih komprehensif berkaitan penguatkuasaan di dua pasar berkenaan dapat dijalankan agar ia dapat memberi kesan yang positif dan berkesan.
Pada masa ini, Mahadi berkata, DBKL sentiasa memantau pergerakan peniaga etnik Rohingya ini melalui penggunaan kamera litar tertutup (CCTV).
Sementara itu, Mahadi berkata Program Minggu Harmoni 2023 bertemakan “Malaysia Madani dalam Kepelbagaian Agama” merupakan satu platform perkongsian pintar bagi mewujudkan interaksi sosial yang efektif.
Mahadi berkata, melalui pendekatan menyeluruh dan vibrant yang mencakupi aspek pembinaan jati diri, beliau yakin program itu mampu melahirkan warga kota berkeyakinan dan, berketerampilan, saling menghormati dan menghargai perbezaan kaum, agama dan budaya. – BERNAMA