PUTRAJAYA: Trauma sejak kecil, ego lebih tinggi, rasa lebih berkuasa terhadap pasangan, tekanan emosi dan mental tidak terkawal, dipercayai antara punca berlaku keganasan dalam rumah tangga.
Pengarah Operasi BabyPian Legacy Sdn Bhd (BabyPian), Mohammad Rizal Abdul Rahman berkata, pelbagai faktor dikesan ketika pihaknya menjalankan kajian melibatkan produk bantal zikir.
Katanya, kurang ilmu rumah tangga juga menjadi punca utama terjadinya masalah dalam keluarga sehingga memberi kesan kepada suami isteri, dan anak-anak.
“Tekanan luar dalam, kerja di luar dah tertekan, balik rumah pun tertekan, boleh jadi punca.
“Mungkin juga pengalaman hidup, dia pernah menjadi saksi keganasan rumah tangga atau melalui situasi itu.
“Bila seorang suami merasakan dia berkuasa atas segalanya, itu juga silap tetapi kebanyakannya kerana kurang ilmu rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga sehingga koma, Jahidah Nordin yang digerakkan oleh penyanyi, Sufian Suhaimi melalui jenama, BabyPian.
Pada majlis sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu; pengasas bersama, Farah Yusoff dan Kumpulan Inteam.
Sebagai seorang suami, Mohammad Rizal menyarankan pasangan suami isteri mendapatkan bantuan awal dengan merujuk pakar kesihatan mental atau kaunseling daripada kerajaan atau klinik berkaitan.
Katanya, lelaki terutamanya sebagai seorang suami perlu buang ego kerana ego itu menghalang rumah tangga harmoni.
“Kalau sayang isteri, buang ego, kena ubah diri, duduk berbincang dengan pasangan.
“Kalau dah banyak kali (naik tangan), itu sudah menunjukkan kurang sayang atau mungkin sudah tidak ada sayang lagi.
“Jadi, saya juga sarankan kepada isteri dan wanita luar sana, kalau dapat masalah begini (banyak kali), buat aduan sebab negara memang ada benteng itu. Jangan beri peluang tanpa berfikir,” katanya yang mendakwa kes Jahidah banyak berlaku tetapi kurang pendedahan.