HomeBeritaMahkamah & JenayahEmilia Hanafi menangis cerita kejayaan anak

Emilia Hanafi menangis cerita kejayaan anak

KUALA LUMPUR: Sebagai ibu tunggal yang membesarkan anak-anak seorang diri, Emilia Hanafi meluahkan rasa sebak, terharu malah mengalir air mata ketika menceritakan kejayaan akademik anak sulungnya kepada Mahkamah Majistret, pada prosiding hari ini.

Anak sulung hasil perkongsian hidup dengan ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Syeikh Mohamad Fawwaz Amin SM Faisal, 17, cemerlang dalam peperiksaan International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE), baru-baru ini.

Dalam suara bergetar penuh emosi, Emilia yang diperintahkan memberikan keterangan berhubung dakwaan dipukul bekas suaminya, mendedahkan anak lelakinya itu berjaya mengharungi peperiksaan dalam akademik ketika prosiding terhadapnya sebagai saksi kanak-kanak berlangsung serentak.

“Fawwaz, selesai peperiksaan IGCSE pada Jun 2022. Mata pelajaran Bahasa Melayu dia dapat keputusan cemerlang A (plus) dengan markah 90 peratus.

“Dan dia telah menduduki peperiksaan bagi baki mata pelajaran pada bulan Oktober dan November 2022 iaitu semasa sesi mahkamah ini berlangsung.

“Alhamdulillah….., Fawwaz….. dapat keputusan cemerlang bagi semua walaupun perlu datang ke mahkamah,” katanya dalam nada sebak memberi keterangan Majistret Nadia Othman.

“Hari ini juga adalah hari pertama Fawwaz hadir ke kolej tempatan, dia diminta hadir ke kolej untuk orientasi, di sana ada sesi temu bual dan jika lulus dia akan diterima masuk ke kolej.

“Saya… sepatutnya berada di sana teman dia, sebab temu bual perlu dilakukan pihak kolej kerana dia masih bawah umur 18 tahun, ” katanya.

Emilia, 43, berkata, sejak berpisah dengan bekas suami, dia terpaksa bekerja secara sambilan termasuk menjual kerepek, roti jala, pulut kuning, rendang daging, jeli dan kek bagi menampung kos sara hidup keluarga.

“Buat masa ini, saya dan anak-anak menumpang di rumah ibu bapa kerana tiada tempat tinggal disediakan untuk anak-anak. Saya ibu tunggal kepada tiga anak lelaki berusia 10, 12 dan 17 tahun.

“Jadi, saya terpaksa kerja sambilan dan juga uruskan kos sara hidup anak-anak, termasuk hantar dan ambil mereka dari sekolah,” katanya.

Untuk rekod, IGCSE adalah program berasaskan sistem kurikulum antarabangsa iaitu Cambridge International General Certificate of Secondary Education yang berasaskan STEM, diiktiraf di seluruh dunia setaraf dengan British GCSE dan International GCE O Level.

Terdahulu, peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Emilia selaku pengadu perlu dipanggil dahulu atas faktor kepentingan keadilan serta isu yang akan memprejudiskan anak guam kerana banyak dokumen pembelaan berkait rapat dengan pengadu.

Permohonan supaya Emilia memberi keterangan dahulu didakwa wajar kerana percakapan melalui saksi lain hanya sekadar keterangan sokongan saja untuk mengesahkan serta menyokong kejadian terbabit.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan juga Nur Aishah Ahmad Zakiuddin berkata, tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan Emilia perlu dipanggil dahulu untuk memberi keterangan.

Katanya, mahkamah juga wajar merujuk Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi hak kepada pendakwaan untuk memanggil mana-mana individu serta jumlahnya untuk dijadikan saksi bagi memberi keterangan.

“Pada masa ini, saksi pendakwaan keenam (adik Emilia, Elisa Nani Hanafi) belum disoal balas. Sepatutnya selesaikan periksa balas saksi itu, bukan ‘lompat’ kepada saksi lain.

“Perkara ini dibuat mengikut undang-undang dan ini amalan biasa di mahkamah.

“Elisa sudah jalan half way jadi lebih teratur untuk keterangannya selesai diambil oleh Mahkamah dan beliau dilepas sebagai saksi sebelum saksi seterusnya dipanggil,” katanya.

Majistret Nadia membuat keputusan di bawah Seksyen 135 Akta Keterangan memanggil Emilia bagi memberi gambaran keseluruhan mengenai kes terbabit.

Bagaimanapun pihak DPP akan membuat semakan kehakiman ke atas keputusan yang dikeluarkan oleh Majistret pada petang ini.

Pada jam 4 petang, Emilia turut mencelah memaklumkan dirinya rasa terganggu dan bimbang keselamatan anaknya yang sedang menunggu untuk diambil.

Namun perkara itu dibantah oleh Akberdin dengan meminta Majistret meneruskan prosiding sehingga jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, Nur Aishah mencelah memohon empati Majistret agar dibenarkan Emilia mengambil anaknya atas dasar keselamatan anak yang bawah umur.

Majistret setuju dan prosiding disambung pada 28 Februari ini.

Turut hadir, peguam pemerhati mewakili Emilia, Amirul Iman Dollah dan Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co dan wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi dan wakil Woman’s Aid Organisation (WAO).

Manakala barisan pasukan pembelaan SM Faisal diketuai oleh Akberdin.

SM Faisal diiringi penjaminnya yang juga pemandu peribadi.

Beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Author

Pilihan Editor