HomeBeritaGEG mesti diluluskan, industri diselar agar tidak pentingkan diri

GEG mesti diluluskan, industri diselar agar tidak pentingkan diri

CYBERJAYA: Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa agar RUU kawalan rokok elektronik segera dibawa ke Parlimen dan diluluskan, dan seterusnya digubal (enacted) dengan segera bagi melindungi generasi akan datang.

Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan menyokong ikhtiar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan peruntukan larangan merokok kepada Generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Menurutnya, dasar yang lebih dikenali sebagai Generasi Penamat atau Generational EndGame (GEG) adalah bertepatan untuk melindungi golongan generasi akan datang daripada terjebak dengan kegiatan buruk merokok ini khususnya produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik atau vape.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan wanita, MyWATCH berpendapat sokongan kerajaan terhadap pelaksanaan GEG adalah penting bagi melindungi kanak -kanak dan remaja dan ia sememangnya menjadi keutamaan Kerajaan demi memastikan Malaysia dapat melahirkan generasi akan datang yang lebih sihat dan produktif.

“Saya sungguh kesal selama ini masalah merokok terutama rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sukar dikawal dan telah semakin menular. Kita boleh nampak dengan jelas, anak-anak muda ini tanpa segan silu menggantungkan rokok elektronik di leher mereka.

“Lebih menjengkelkan lagi apabila mereka dengan bangganya menghembuskan wap rokok elektronik yang kononnya tidak membahayakan kesihatan,” katanya.

Roslizawati berkata, MyWATCH juga menyambut baik pengumuman berkaitan pengenaan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik, namun percukaian semata-mata tanpa kawalan ketat terutamanya terhadap pengiklanan dan promosi rokok elektronik yang semakin berleluasa akan menyebabkan ia berleluasa tanpa kawalan.

Katanya lagi, ianya mestilah selaras dan mematuhi Artikel 5.3 FCTC (Framework Convention for Tobacco Control atau Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau mengenai Protecting Tobacco Control Policies from Tobacco Industry Interference), apatah lagi Article 13 (Ban on Tobacco Advertising, Promotion and Sponsorship).

Mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Dewan Perniagaan Vape Malaysia atau MVCC berkaitan cadangan GEG tidak sepatutnya diteruskan kerana ia akan mengharamkan produk vape dalam jangka masa panjang dan akan memberi kesan kepada perniagaan tempatan, Roslizawati menyifatkannya satu kenyataan yang mementingkan diri tanpa memikirkan masa depan anak-anak muda generasi akan datang.

“MVCC perlu cakna dan sensitif, serta harus prihatin Pelaksanaan GEG HANYA melibatkan mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. Kajian yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan jumlah pengguna rokok elektronik yang tidak tergolong dalam kumpulan generasi ini adalah lebih kurang 1 juta orang.

“Oleh itu mana mungkin industri ini akan rugi kerana mereka masih mempunyai klien dengan jumlah yang besar. Lainlah sekiranya kerajaan melarang sepenuhnya penjualan rokok elektronik sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh negara- negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya.

Roslizawati juga menekankan, kajian juga mendapati beban kesihatan (health burden) jauh mengatasi pendapatan (revenue).

“Kajian statistik 2020 menunjukkan jumlah kutipan RM2.7 bilion revenue, tidak dapat menampung beban tiga jenis penyakit sebanyak RM6.21 bilion, apatah lagi penyakit-penyakit sampingan merokok keseluruhannya. Peningkatan peratusan penggunaan rokok elektronik yang semakin kritikal, di mana keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9 % pada tahun 2022; peningkatan yang amat membimbangkan,” tegasnya.

 

Author

Pilihan Editor