KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agar guru agama di negeri ini mendalami ilmu hadis supaya segala maklumat yang disampaikan adalah benar.
“Tugas guru agama bukan sekadar mengetahui sesuatu hadis dan kemudian terus diajar kepada masyarakat, tetapi pada masa sama nilailah hadis tersebut supaya apa yang diamalkan itu benar,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
Menurut kenyataan itu, baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Kepentingan Menilai Status Hadis anjuran Jabatan Mufti Negeri bersama MAIPs dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Auditorium KUIPs di sini.
Tuanku Syed Faizuddin, merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah melihat kepada kepentingan itu, Jabatan Mufti Negeri, KUIPs dan badan-badan agama yang lain di negeri ini mengorak langkah menganjurkan program keagamaan seperti ini dalam menyedarkan masyarakat tentang keperluan mempelajari ilmu agama melalui sumber yang sahih.
Sempena majlis berkenaan baginda turut berkenan melancarkan Buku Himpunan 50 Tazkirah terbitan Jabatan Mufti Negeri dan tarikh Perkampungan Sunnah Siri ke 8/2023 pada penghujung Mei ini. -BERNAMA