HomeSukanHanis perlu lalui proses penggantungan, tidak perlu kemuka rayuan - Presiden KHM

Hanis perlu lalui proses penggantungan, tidak perlu kemuka rayuan – Presiden KHM

 

KUALA LUMPUR: Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn tidak perlu mengemukakan sebarang rayuan berhubung hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemain berusia 26 tahun itu perlu melalui penggantungan tersebut sebagai pemain profesional dan proses hukuman untuk mendisiplinkan diri.

Beliau berkata, sebarang proses rayuan melibatkan mana-mana atlet perlu melalui badan induk persatuan sukan masing-masing dan sebarang keputusan akan dibincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya yakin dengan tindakan sebegini rupa, Hanis Nadiah akan menjadi pemain yang lebih hebat dan cekal. Dari segi rayuan, biar dia jalani dahulu (hukuman penggantungan). Tak perlu rayu kerana kami di pihak KHM memang beri yang terbaik.

“Kita tidak buat keputusan sesuka hati, KBS minta kita bawa empat pingat emas untuk Sukan SEA dan Hanis Nadiah sebagai top striker, kita memang akan rasa kehilangan tetapi dia perlu lalui proses tersebut. Kalau ada tindakan sebaliknya kita akan berbincang dengan MSN,” katanya.

Subahan berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Hoki 5s, B11 dan B15 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada 9 Februari lepas, Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM membuat keputusan untuk menggantung Hanis Nadiah dan beliau tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Keputusan itu dibuat susulan komen Hanis Nadiah yang didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara bulan lepas.

Bagaimanapun, sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu boleh mengemukakan rayuan kepada Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Subahan.- BERNAMA

Authors

Pilihan Editor