KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan dengan detik cemas apabila tangan kanannya tersekat dalam kotak pembesar suara (speaker) dalam satu kejadian di Taman Kinamaun Lorong Pelanduk dekat sini, semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.41 petang Rabu.
“Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi PBK II Idy Nirawan Ilyas tiba di lokasi berkenaan melaporkan berlaku insiden melibatkan tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan telah tersekat dalam kotak pembesar suara (speaker).
“Pasukan Bomba bertindak dan berjaya mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Seterusnya mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya seperti dilapor Sabah Media hari ini.
Bagaimanapun menurut kenyataan PGO JBPM, maklumat lanjut mangsa tidak diperolehi dan operasi ditamatkan pada jam 4 petang.