KUALA LUMPUR: Salah satu agensi yang popular dengan tanda pagar KamiSempoi (#KamiSempoi), mahu melahirkan 2,400 TikToker (pempengaruh) daripada platform berkenaan tahun ini sejajar dengan permintaan tinggi pihak industri.
Pengasas KamiSempoi International Agency (KSIA), To Chin Swee atau dikenali Pakchik Chin Swee berkata setakat ini, terdapat 670 TikToker yang menyertai program KamiSempoi dan menjana pendapatan lumayan.
“KamiSempoi pecahkan pempengaruh ini kepada empat kategori iaitu ‘silver host‘, ‘gold host‘, ‘platinum host‘ dan ‘celebrity host‘.
“Kategori itu diberi mengikut tahap dikenali dan jika mereka sudah sampai tahap platinum mereka akan terima sijil dan pendapatan sebulan tidak kurang RM50,000.
“Ada yang terima pendapatan lebih RM130,000 sebulan hanya dengan guna platform TikTok.
“Ketika ini permintaan amat tinggi ada syarikat memerlukan khidmat, kolaborasi, ‘paid review‘ atau jadi duta produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Pejabat Urusan KamiSempoi cawangan kedua di pusat beli belah Quill City, di sini selepas Ibu Pejabat di Melaka dan Sambutan Ulang Tahun KamiSempoi.
Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed turut hadir menyempurnakan majlis perasmian.
Hadir bersama, barisan pelakon tanah air seperti Riezman Khuzaimi, Zed Zaidi, dan Johan Ariff As’ari selain pempengaruh terkenal di bawah naungan KSIA termasuk Adelyn Heng Hui Rou.
KamiSempoi menjadi ‘trending‘ dengan jumlah tontonan 3.8 bilion kali sehingga membolehkan ia membuka ibu pejabat pertama di Melaka kira-kira setahun lalu.
Tanda pagar ini wujud selepas ramai yang tertekan kesan kehilangan pendapatan selepas PKP tahun 2020.
KamiSempoi juga wujudkan tanda pagar #unigangsempoi untuk membantu pelajar universiti yang tidak mampu membayar yuran pengajian.
Menerusi platform TikTok, mereka tidak perlu lagi membebankan keluarga malah pendapatan bulanan yang diperoleh menerusi platform berkenaan dapat menampung keluarga.