BUKIT BERUNTUNG: Pembuangan sampah secara haram, pembakaran terbuka dan pencemaran sungai dikesan berlaku di Kampung Timah di sini.
Ia menimbulkan kebimbangan penduduk yang berdepan dengan kesan pencemaran hampir setiap hari sejak lebih dua tahun lalu.
Masalahnya bukan penduduk kampung yang membuang dan membakar sampah tersebut, tetapi orang luar yang sengaja menjadikan kawasan itu sebagai tempat pembuangan sampah.
Mangsanya adalah penduduk kampung dan kesan pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran udara, malah pembuangan sampah di tebing Sungai Selangor juga mengakibatkan pencemaran sungai.
Penduduk, Lai Foo Loong, 47, berkata, aduan sudah dibuat kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan penyelesaian diambil.
“Kami juga sudah panggil bomba padam api tapi masih lagi terbakar dan asapnya berkepul-kepul ke udara.
“Penduduk kampung tak tahan bila hari-hari begini. Paling kami risau anak-anak kecil sebab asap ni bukan dari pembakaran sampah biasa tapi bahan kimia,” katanya ketika membawa pihak media meninjau kawasan tersebut.
Menurut Lai, beberapa lori sampah dilihat masuk ke kawasan kampung mereka yang dipercayai membawa sampah sebelum dibuang di kawasan tersebut.
Menurutnya, sampah-sampah biasanya dibuang di tepi-tepi jalan, di kawasan tanah pertanian berpalang, berdekatan tasik dan lebih teruk ada yang dibuang di tebing sungai.
Jelasnya, kebanyakan sampah yang dibuang di kawasan itu daripada sisa binaan, guni berisi serbuk kimia, sisa makanan, makanan kucing dalam tin, tempurung kelapa, kotak gabus, ranting pokok dan sampah industri.
“Sudahlah sampah dibuang begitu saja tanpa rasa bersalah, dibakar pula secara terbuka.
“Kami sudah tidak tahan dan terpaksa cuba padam sendiri tapi guni yang berisi serbuk bahan kimia memang sukar dipadam dan terus keluarkan asap serta bau yang busuk,” ujarnya.
Tambah Lai, dia terpaksa memadam sendiri api berkenaan dengan mengepam air dari tangki yang ditadah sendiri dan dibawa menggunakan kereta pacuan empat roda ke kawasan terbabit.
Ujarnya, walaupun cara itu tidak berkesan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kebakaran dan tidak merebak ke kawasan lain.
Seorang lagi penduduk, K Gobalakrishnan, 52, menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap pemandu-pemandu lori sampah serta pemiliknya dan menghalang mereka daripada memasuki kawasan kampung mereka.
Menurutnya, masalah itu bukan baru berlaku dan keadaan bertambah buruk kerana dibiarkan tanpa tindakan daripada pihak berkuasa.
“Di sini ada lebih kurang 60 keluarga dan ramai anak-anak kecil, bahaya jika terus dibiarkan begini.
“Minta pihak berkuasa halang lori-lori ini masuk kampung kami, larang mereka buang sampah di sini dan ambil tindakan tegas jika mereka berdegil,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat tiga lokasi berlainan yang dijadikan tempat pembungan sampah dan jarak antara ketiga-tiga kawasan itu antara 100 hingga 300 meter.
Menurut penduduk, sebelum ini sampah dibuang sangat hampir dengan kediaman penduduk dan teguran dibuat menyebabkan mereka beralih ke kawasan pertanian terbiar yang dipercayai berstatus milikan sementara.
Walaupun menyedari hanya itu akses yang ada untuk memasuki kawasan pertanian tersebut, namun kebanyakan penduduk tidak dapat menghalang lori-lori yang masuk kerana bimbang keselamatan mereka.