KUALA LUMPUR: Kedah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Relau dekat Bandar Baharu susulan hujan lebat lebih dua jam bermula kira-kira 3 petang Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, 14 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Relau, pada 7 malam semalam.
“Hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan di Mukim Relau dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat. Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan pemantauan paras air sungai dan mendapati beberapa jalan perhubungan di Mukim Relau turut terputus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS turun sedikit kepada 846 orang setakat 8 malam ini berbanding 897 orang pada 2 petang semalam.
Daerah Batu Pahat yang mengalami banjir termenung merekodkan jumlah mangsa seramai 820 orang yang ditempatkan di lima PPS, manakala 26 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Segamat.
Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di kawasan Serian meningkat kepada 180 orang malam tadi berbanding 97 orang petang Jumaat dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan St Peter serta Dewan Kampung Mundai.
Di SABAH, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam tadi turun kepada 285 orang daripada 81 keluarga dan berada di tiga PPS berbanding 535 orang daripada 165 keluarga di sembilan PPS pagi semalam.
Kesemua PPS di Beluran telah ditutup pada 7 malam semalam manakala di Telupid sebuah PPS turut ditutup pada 2 petang. – BERNAMA