PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 3,043 unit alat ganti kenderaan jenama Hyundai dan KIA disyaki tiruan bernilai RM240,792 dalam dua serbuan berasingan di Batu Caves, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur, minggu lepas.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dalam serbuan 7 Februari lalu, alat ganti tersebut ialah penapis minyak, penapis angin dan tali sawat.
Beliau berkata, serbuan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya itu adalah berdasarkan risikan awal yang dilakukan beberapa hari sebelum serbuan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit.
Katanya, pegawai penguat kuasa menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40 tahun yang masing-masing mengaku sebagai pemilik premis berkenaan serta menyita beberapa dokumen perniagaan.
“Individu berkenaan ditahan bagi membantu siastaan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Akta berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati ketika membeli alat ganti kenderaan sama ada di premis atau secara dalam talian selain tidak menyokong sebarang aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian serta menjejaskan keselamatan. – BERNAMA