HomeBeritaKPMC fokus Indonesia laksana agenda pelancongan kesihatan

KPMC fokus Indonesia laksana agenda pelancongan kesihatan

KAJANG: Menyokong industri pelancongan kesihatan negara, Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) kini sudah bersedia menerima pesakit negara luar dengan memfokuskan pelancong Indonesia sebagai sasaran utama, buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi berkata, dengan pengalaman menetap di Melaka selama 13 tahun, beliau mengambil inspirasi negeri jaguh bidang pelancongan kesihatan itu untuk diterapkan ke KPMC.

“Saya lihat banyak penyedia perkhidmatan sama di pasaran, justeru bila diberi amanah untuk uruskan hospital sendiri, kita susun strategi ke arah penghasilan ‘Medical Tourism’.

“Maka, lahirlah (wajah baharu KPMC) hari ini. Sekarang ini sudah 40 peratus siap diubah suai dan penambahbaikan dari segi fasiliti, mesin perubatan dan suasana kondusifnya.

“Namun fokus KPMC ketika ini adalah menarik pelancong dari Indonesia kerana berdasarkan rekod, negara itu memiliki jumlah penduduk terbesar iaitu 200 juta orang.

‘Kita hanya sasarkan 10 peratus daripada jumlah itu iaitu 20 juta penduduk Indonesia yang akan melancong ke Malaysia dan berbelanja di sini khususnya dalam bidang kesihatan pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan perasmian pembukaan Wad 3 Medical Tourism KPMC, pada Khamis.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Saroni menambah, KPMC sudah pun menerima pesakit dari Indonesia namun ingin meluaskan pasaran KPMC ke Australia dan New Zealand dalam perancangan akan datang.

“Kita cuma kekurangan tenaga mahir dalam bidang kejururawatan. Oleh sebab itu, kita sedang bekerjasama dengan Indonesia mengenai perkara ini.

“Sekurang-kurangnya 15 pekerja bidang ini diperlukan ketika ini dan ia cukup untuk menghidupkan operasi wad baharu ini,” katanya.

Azrul Shah juga memuji KPMC yang berupaya menghilangkan fobia hospital, dengan menyediakan ruang eksklusif, kondusif dan menenangkan seperti di hotel lima bintang.

Bangunan KPMC terbahagi dua bahagian masing-masing ‘old wing’ dilengkapi bilik Unit rawatan intensif (ICU) dan bilik bedah di aras dua serta wad baharu lebih selesa di aras tiga manakala ‘new wing’ dengan bangunan dua tingkat.

Wad baharu terbabit diberi nama seperti Delima, Berlian, Baiduri, Aquamarine, Turquoise, dan Nilam memiliki keistimewaan masing-masing memberi pilihan kepada pesakit.

KPMC sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik kepada pesakit dan kebanyakan yang hadir adalah mereka yang mendapatkan rawatan di bahagian ortopedik dan fisioterapi.

Author

Pilihan Editor