KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan sebarang bentuk siasatan dijalankan berkenaan dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings yang dilaporkan media tempatan, pada Selasa
Memetik laporan berhubung dakwaan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penekanan khusus diberikan oleh KPT dalam perkara yang melibatkan nilai-nilai integriti dan tata kelola dalam tadbir urus universiti.
Katanya, kementerian tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan, sekali gus menyeru pihak-pihak berkenaan memberikan kerjasama sewajarnya.
“Selain daripada siasatan yang dijalankan, KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang telah ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti serta mengukur kepatuhan oleh syarikat-syarikat yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, laporan akhbar bertajuk “UiTM Holdings rugi RM157 juta” yang disiarkan media tempatan pada Selasa mendakwa jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Manakala, keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi tahun 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.
UiTM Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan milik penuh UiTM yang menguruskan lapan buah syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi dan kreatif. – BERNAMA