HomeBeritaLTSAAS bakal jadi hab penerbangan serantau

LTSAAS bakal jadi hab penerbangan serantau

SUBANG: Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) akan dilaksana.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan pembangunan tersebut telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu selepas mengambil kira pertimbangan yang teliti.

Menurutya, usaha tersebut bakal menyaksikan  LTSAAS menjadi sebuah hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan yang digemari di rantau Asia-Pasifik serta lapangan terbang bandar yang unggul.

Ekosistem pembangunan LTSAAS melibatkan tujuh komponen iaitu industri aeroangkasa; pusat penyelenggaraan; pembaikan dan baik pulih; pusat penyelidikan dan pembangunan; operasi penerbangan am; operasi penerbangan perniagaan; mobiliti udara bandar dan operasi penerbangan komersial serantau.

Antara fokus utama SARP ialah cadangan memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet (narrow body) sehingga A320/B737 atau yang seumpamanya dan “belly kargo” menggunakan pesawat jet di LTSAAS.

“Sasaran pasaran ialah kumpulan penumpang kelas perniagaan ataupun premium dengan memanfaatkan sepenuhnya kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota negara kita.

“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat ‘propeller’ dan ‘turboprop’ akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan tersebut di LTSAAS dijangka berterusan dan positif,” kata Anthony Loke dalam sidang media yang diadakan di LTSAAS Subang di sini.

Jelasnya melalui SARP, LTSAAS bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai lapan juta penumpang setahun.

Pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS akan menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

Untuk langkah seterusnya Malaysia Airports akan merangka seluruh pelan pembangunan semula LTSAAS merangkumi kos keseluruhan projek untuk dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum tamat suku pertama tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kerosakan struktur jejambat dan tiang yang retak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Loke berkata beliau akan melakukan lawatan di lokasi berkenaan Rabu ini bagi meninjau sendiri perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, yang menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bermula 27 Januari lepas.

Author

Pilihan Editor